Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara

16 Mei adalah tarikh keramat dan sakti bagi mereka yang terlibat sepenuhnya dalam profesion keguruan. Pada hari ini, sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan diadakan untuk menghargai jasa para guru dalam menaburkan bakti dan khidmat kepada anak-anak didik mereka serta jasa dan sumbangan mereka yang tidak ternilai kepada negara. Sebenarnya, tarikh 16 Mei mempunyai sejarahnya yang tersendiri, sebab itulah pemilihan tarikh ini dibuat berdasarkan kepada fakta penting yang mewujudkan secara tersuratnya kemaujudan pendidikan di Malaysia juga. Ini kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Dengan itu, sambutan Hari Guru diadakan pada setiap 16 Mei setiap tahun.

Sebenarnya terdapat beberapa objektif penting hari guru diadakan, antaranya termasuklah:


1.     " Menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan  integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.

2.     " Menarik perhatian ibubapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum  guru dalam  masyarakat Malaysia.

3.     " Memupuk perasaan perpaduan ikhtisas dan muhibah di antara guru.

4.     " Meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat.

5.     " Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar-seminar, persidangan-persidangan, dan sebagainya yang diadakan pada Hari Guru.

6.     " Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu lebih berkesan.

Pada tahun 2011 ini, tema hari guru pulak adalah "Guru penjana transformasi pendidikan negara" adalah sangat bertepatan. Ini kerana pada hari ini, guru bukan setakat bercakap dan mengajar para anak didiknya tentang bagaimana untuk membaca, menulis dan mengira, tetapi guru berperanan penting dalam mengubah corak pemikiran murid/pelajar agar menjadi agen terhadap perubahan dan kehendak yang disasarkan oleh kerajaan mahupun negara. Guru mampu mengubah sistem pengajaran dengan lebih berkesan dan dinamik, serta membawa era pendidikan ketahap yang lebih gemilang sehingga mampu bersaing dengan negara-negara yang lain di dunia. Guru sememangnya menjana transformasi pendidikan negara.

Oleh itu, berbanggalah menjadi pendidik, tunaikanlah segala tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab. SELAMAT HARI GURU, berbanggalah menjadi guru!